Amanah itu Anugerah?

Astagfirullah! Layakkah aku?

Astagfirullah!!! Berulang kali aku melafazkan kalimah agung ini. Agar hati ini melafazkan seiring dengan lidahku. Sekali lagi badan ini hampir rebah demam dengan keputusan mengejut hasil meeting daerah petang tadi (15 Ogos 2009).

Terlintas di minda ku firman Allah.

Kalau sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan ketakutannya kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir. (59:21)

Sungguh aku terasa bagaikan ingin terpecah belah diri ini akibat besarnya tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul.

Kenalilah aku......

Selepas kempen aku mengajak rakan-rakan untuk turun ke gelanggang anti ISA, aku mula dikenali di kalangan senior-senior jamaah aku. Lalu nama aku dicanang untuk menggalas tanggungjawab memikul beban mengislah ummah. Perlantikan aku mungkin untuk mencari pelapis dan pengganti mereka nanti. Aku sangat setuju dengan rancangan mereka itu. Namun mereka melantik aku tidak berdasarkan kebolehan dan skill yang aku ada. Teringat aku seerah rasul di saat-saat akhir baginda di dunia. Baginda rasul sakit dan tidak mampu mengimamkan solat. Baginda melantik Abu Bakar untuk menjadi imam kepada ummah. Pada suatu hari, Abu Bakar telah datang lewat ke masjid, lantas sahabat melantik Umar untuk menjadi imam mereka. Peristiwa ini diketahui baginda. Baginda marah kepada sahabat dan tetap menyuruh Abu Bakar menjadi imam mereka.
Ini adalah signal jelas Nabi Muhammad saw kepada sahabat itulah calon baginda untuk menjadi penggantinya. Benar sekali pilihan baginda kerana Abu Bakar yang sifatnya lembut namun bertukar tegas apabila memegang tampuk pemerintahan Islam. Jelas baginda sangat-sangat mengenali sahabatnya.
Abu Bakar tegas memerangi golongan murtad dan yang tidak membayar zakat. Paling penting adalah Abu Bakar menghantar semula tentera Islam dan melantik panglima tentera yang dilantik rasul sebelum kewafatan baginda. Keputusan Abu Bakar ditentang sahabat kerana masih terlalu muda. Abu Bakar tetap bertegas dengan berkata itu adalah pilihan baginda rasul dan aku tidak akan menukar pilihan baginda kerana pilihan baginda adalah tepat.

Persoalannya adakah mereka mengetahui kelebihan,kekurangan, kebolehan serta skill aku untuk diserapkan di dalam jawatan tersebut? Tepatkah pilihan mereka?

Protokolkah aku?

Andai mereka tahu kenapa aku berhenti kerja untuk pekerjaan aku yang pertama tentu mereka lebih berhati-hati untuk mencalonkan aku kerana mungkin juga aku akan mengambil langkah yang sama. BERHENTI!
Aku cepat dan mudah bosan dengan aktiviti harian ku semasa bekerja. Asyik-asyik ikut protokol, skema, dan yang sewaktu dengannya. Minda ku jadi sempit dan kaku. Aku tidak mampu untuk berfikir dengan kritis dan kreatif. Kebanyakan program yang aku kendalikan, aku membuat keputusan di waktu-waktu kritikal agar perjalanan program tetap lancar dan baik.

Lihat pula kepincangan yang berlaku pada era Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri. Jelas sekali Mahathir tersilap langkah melantik Abdullah Badawi. Jangan hanya untuk mengisi kekosongan jawatan yang ada, fenomena ini berulang kepada aku.

Tanggungjawab yang lebih besar

Adik-adikku di Johor, aku tahu kamu semua amat-amat memerlukan seseorang yang mampu membantu untuk memantapkan pentarbiyahan di sana. Aku sedih kerana mereka bersemangat untuk berjuang namun tidak tahu bagaimana untuk menyalurkan semangat itu menjadi sebuah gerak kerja yang baik. Aku ingin mengambil tanggungjawab ini walaupun tidak dilantik sesiapa. Kerana aku tahu apa yang mampu aku lakukan. Kerana aku lebih selesa melakukan apa yang aku suka lakukan. Walaupun jauh untuk aku mengembara, namun kembara itu berjaya mentarbiah aku. Kembara itu dapat memberikan aku satu nikmat yang tidak aku dapat andai diri ini dikongkong oleh satu title atau jawatan kerana aku akan melaksanakan pekerjaan itu kerana itu adalah amanah atau jawatan yang aku pegang. Mungkin keikhlasan itu sedikit terhakis.
Adik-adikku, ini adalah cabaran lagi untuk aku bersama kamu semua. Doakan aku agar masih lagi terus bersama.

Tuhan, engkau maha mendengar

.....(Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri ma'aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." (2:286)

Ya Allah, janganlah hukum aku di Mahsyar nanti, Ampunilah aku rahmatilah aku.....Ya Rabb engkau maha mengetahui isi hati ini.

Amin.

0 comments: