Software Al Quran Unruk Microsoft Word

klik sini untuk download

Selepas install automatic akan bertambah satu toolbar baru. Bagi pengguna microsoft word 2007, quran + translation akan boleh digunakan pada bahagian add on menu.

Selamat Mencuba!!!!!!

Ketika hati ini mati






Ketika Hati ini mati,
saat itu diri terasa kosong
hambar......

Ketika hati ini mati,
ku rasa diri ini gembira...
ku rasa diri ini riang...
dalam tawa dalam gelak....
ternyata riang dan gembira itu palsu.....

Ketika hati ini mati,
lupa pada sang pencipta
lupa pada hakikat diri
lupa pada azab maha pedih

ketika hati ini mati,
masihkah ada lagi harapan
masihkah ada lagi peluang
untuk hati ini hidup kembali
untuk hati ini tidak tertipu lagi

aku tidak mahu hati ini mati,
aku tidak mahu jiwa ini kosong,

berikan aku secebis hidayahMu
berikan aku sekelumit taufiqMu
agar hati ini mampu dihidupkan kembali
hidup subur dengan ketenangan abadi.....

Ya Rabb.....siapalah aku pada pandangan Mu....

Nukilan
Asrul
0130
30/06/2009

Berjuang itu dengan perbuatan


Gaza Selepas 4 hari diserang

Gaza Selepas 4 hari diserang


Berita yang menyedihkan

Awal 2009, dunia digemparkan dengan serangan Israel kepada Gaza setelah lama mereka menyekat ekonomi Gaza. Serangan tersebut berlangsung selama beberapa minggu. Dunia mengecam tindakan Israel yang menyerang bertubi-tubi Gaza tanpa peri kemanusiaan. Malaysia tidak ketinggalan juga. Pelbagai agensi dan badan-badan pertubuhan sama ada kerajaan mahupun bukan kerajaan melancarkan kutipan derma bagi membantu rakyat Palestin di Gaza. Terdengar di sana sini kempen memboikot barangan dan produk Israel berngiang-ngiang di telinga. Begitu sikap rakyat Malaysia yang prihatin terhadap nasib rakyat Palestin di Gaza.

Ketika itu aku masih lagi bekerja sebagai Management trainee di sebuah pasaraya terkemuka di Malaysia. Semasa bekerja aku memerhatikan gelagat-gelagat pelanggan. Ada seorang mak cik yang cuba menasihati rakannya agar menukar produk Milo keluaran Nestle kepada satu produk yang lain. Beliau mengajak rakannya agar sama-sama memboikot barangan Israel. Aku tersenyum gembira. Betapa seronoknya aku tika itu kerana selama ini usaha kempen memboikot yang aku sertai nampak hasilnya. Risalah yang kami edarkan berjaya membuka minda dan kesedaran umat.

Mentaliti dan kepekaan

Peristiwa memboikot atau kempen memboikot tidak akan berjaya sekiranya tiada alternatif bagi barangan tersebut. Manusia akan jemu dan bosan dengan benda yang sama sahaja. Bayangkan jika mereka terpaksa minum air teh atau kopi sahaja tanpa ada barang pengganti (subtitute product) bagi Milo minuman yang berasaskan coklat. Namun lambakan produk-produk minuman coklat di pasaran menjadikan kita tidak mempunyai sebarang alasan untuk tidak memboikot. Melainkan mentaliti mereka adalah hanya Milo yang sedap dan terbaik. What a worse. Kerana jika di kaji semula Milo tidak memberi kan khasiat seperti yang dicanangkan di dalam iklan mereka. Tertipulah mereka dengan tagline minum Milo anda jadi sihat dan kuat. Begitu juga dengan produk-produk lain. (Aku ambil Milo sebagai contoh kerana aku penggemar minuman coklat).
Minuman coklat alternatif aku

Namun ramai yang akan berkata bahawa KFC, Mc Donald (dan lain-lain) masih tiada alternatif kepada produk-produk ini untuk umat Islam. Aku percaya satu syarikat yang bertungkus lumus untuk menyediakan alternatif kepada umat Islam. HPA sedang berusaha untuk meyediakan produk-produk halal sebagai alternatif kepada umat Islam.



Radix Fried Chicken

Namun syarikat-syarikat yang lain juga perlu peka untuk membantu agar umat Islam masih mampu untuk terus memboikot produk-produk Yahudi sekaligus menggunakan produk-produk bermutu umat Islam.

Ibrah dari Seerah

Pada zaman rasulullah saw dahulu, umat Islam ditindas ekonomi mereka oleh golongan Yahudi Madinah. Mereka menjual barangan keperluan kepada umat Islam dengan harga yang begitu mahal. Ramai umat Islam yang mengadu pada Rasulullah. Akhirnya umat Islam juga berniaga di pasar Madinah. Sahabat nabi seperti Abdul Rahman bin Auf menjual dengan harga yang lebih murah berbanding Yahudi. Mereka juga berniaga dengan jujur, malah umat Islam disarankan agar membeli hanya dari umat Islam sahaja. Akhirnya ekonomi umat Islam dapat dikuatkan. Jelas menunjukkan strategi Rasulullah yang menempatkan boikot dan alternatif produk pada umat Islam adalah jalan untuk memantapkan ekonomi umat. Mengapa masih ada yang mengatakan bahawa memboikot adalah cara orang-orang Kafir?
Kisah boikot yang kedua, di Madinah terdapat satu perigi yang di kuasai oleh Yahudi. Yahudi ini menjual air perigi ini kepada penduduk Madinah. Ramai yang tidak mampu untuk membeli air dariapada yahudi tersebut. Lantas rasulullah memberitakan ganjaran yang besar bagi sesiapa yang dapat menyelesaikan krisis air tersebut. Saidina Uthman telah membeli perigi tersebut dengan harga 12000 dirham tetapi bersyarat. Syarat tersebut ialah sistem penggiliran pemilikan perigi tersebut. Ini bermakna satu hari kepunyaan saidina Uthman manakala hari berikutnya kepunyaan yahudi tersebut. Pada hari perigi tersebut di miliki oleh yahudi tidak seorang pun yang datang untuk membeli air daripanya. Umat Islam memboikot dari membeli air dari yahudi kerana terdapat alternatif yang di usahakan oleh saidina Uthman. Jadi bagaimana pula syarikat-syarikat Islam di Malaysia memberikan alternatif-alternatif kepada ummah?



Kempen Boikot

Bertugas di pameran Palestin

5-8 Mei 2009, aku membantu menjadi petugas ngo pada minggu Palestin di bangunan Mara di Kuala Lumpur. Walaupun tidak dapat membantu sepenuh masa, namun kehadiran di sana dapat menambah informasi aku tentang Palestin. Tambahan pula aku dapat mengenali saudara-saudara aku yang sama-sama memperjuangkan agenda Palestin. Aku pulang ke Shah Alam dengan komuter pada sebelah petang.
Pada malam hari, aku dan rakan-rakan keluar makan di salah sebuah restoran di Seksyen 2 Shah Alam. Aku agak terkejut kerana rakanku yang juga sama-sama mengedar risalah boikot pada mana-mana event tentang Palestin masih lagi memesan Nescafe ais.



Nescafe Ais Kaw

Mengapakah mereka tidak jadi seperti mak cik di pasar raya tempat aku bekerja dahulu, walaupun bukan mak cik itu yang mengedar risalah-risalah mengenai Palestin, namun jelas dia mengambil berat isu-isu Palestin.

Ayuh, bangunlah sahabat-sahabat laksanakan apa yang kalian katakan.




2. Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?
3. Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan. (As Shaf 61: 2-3)


Nota Untuk Daie



Asrul
2105
29/06/2009

Golongan Yang Tercicir


"Tika aku tidak mengerti makna kehidupan
jauh semakin jauh aku dari sinaran mentari
Tika aku merangkak dalam kelemasan
terasa sempit dada ini dicengkam
di kala itu aku buta dan pekak
buta dalam kegelapan pekak dalam keegoan
meyakini diri inilah acuan kehidupan

Sekali mentari memancarkan sinar,
aku terkedu.......
rebah tidak bermaya
menzahirkan diri aku telah tersilap langkah
mencoretkan buku-buku penyesalan pada
sekalung taubat dan harapan.............


sayang.....
mereka yang sama-sama dengan ku merasai sinar mentari
menelan manisnya kembara mengenal hakikat diri
kini.....
perlahan-lahan berhenti melangkah dari mengecap sinar mentari
terhimpit dengan acuan hidup, tertipu dengan putaran masa
ketakutan mencengkam jiwaku....

tertanya-tanya.....
adakah mereka cuba menuju kembali kepada
mentari atau semakin mendekati gelapnya hati?"

coretan hati Asrul
15 Mei 2009
0100

"Wahai tuhan yang membolak-balikkan hati....tetapkan hati kami pada agamaMU dan ketaatan pada Mu"......

Perjuangan itu pengorbanan

Pengasas Ikhwan Muslimin As Syahid Hassan Al Bana


Kali ini biarlah video ini menceritakan segalanya.

video video video video video video


Itulah yang terjadi pada salah seorang pejuang Islam. Ramai lagi yang dipenjara, terkorban dan pelbagai cabaran dan dugaan yang mereka hadapi. Cabaran dan halangan pasti dan tetap akan berlaku. Sanggupkah kita terus menghadapinya semata-mata menegakkan kalimah yang Haq?

Hanya iman yang dapat menjawabnya.

"Wahai tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkan hatiku pada agamaMu dan ketaatan pada Mu."


Asrul
29/06/09
1500

Manusia perlukan motivasi




Alhamdulillah, bertambah lagi pengalaman kerja aku. Ini kerja ketiga aku dalam tempoh setahun selepas tamat belajar. Kali ini karier sebagai trainer bagi sebuah syarikat MNC fokus pada industri IT. Sudah tentu karier ini pun satu lagi karier yang memang bukan bidang yang aku belajar di universiti dahulu, aku hanya belajar subjek personal development yang cover ala kadar sahaja tentang topik motivasi. Agak-agaknya boleh ke aku motivasikan orang lain ni? Aku pikul juga tanggungjawab sebagai trainer kerana aku tahu objektif utama trainer adalah untuk mengubah manusia kepada yang lebih baik dalam hal ini spesifik kepada golongan pekerja, syukur dengan nikmat mendalami Islam aku dapat belajar sendiri tentang memotivasikan manusia untuk mengembalikan manusia pada fitrahnya yang asal.

Menurut kajian terdapat 6 salah tanggapan tentang motivasi terhadap pekerja. salah satunya ramai beranggapan selepas dilatih dan dimotivasi manusia-manusia ini akan terus berubah. Kajian menunjukkan ternyata trainer/motivator tidak akan mampu mengubah pekerja untuk membaiki dan mengubah diri mereka hanya mereka yang mampu mengubah diri mereka. Teringat aku pada firman tuhan yang di turunkan pada manusia yang Ummi (tidak tahu membaca dan menulis) iaitu Muhammad saw.


11. Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya yang silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, Yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. dan apabila Allah mengkehendaki untuk menimpakan sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapa pun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkannya itu, dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya. ( Ar Ra'd 13: 11)

Melalui ayat ini, trainer/motivator mahu pun pendakwah dapat memahami bahawa mereka sekadar berusaha untuk mengajak manusia untuk berubah namun segala-galanya terletak pada manusia itu sendiri. Mereka telah diberi pilihan oleh Allah sama ada ingin memilih jalan Fasiq atau jalan kebaikan.



8. Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasikan dan jalan ketakwaan
(Ash Syams 91: 8)

Namun itu bukan alasan untuk trainer atau para pendakwah untuk terus membiarkan manusia-manusia ini tetap terus begitu. Mereka tidak wajar berlepas tangan dari terus mengembalikan manusia kepada fitrah asal manusia.

Allah telah menetapkan hakikat ciptaan manusia itu di bumi ini. Hakikat penciptaan manusia bukan satu tetapi dua. Adakah ianya berkait atau tidak?


56. Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepadaku ( Adz Dzaariyaat 51:56)

30. Dan (ingatlah) ketika tuhanmu berfirman kepada malaikat; "Sesungguhnya aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". ( Al Baqarah 2:30)





berdasarkan matlamat yang pertama iaitu ubudiyah (ibadah total) kepada Allah semata. Makna sebenar ibadat total manusia kepada penciptanya meliputi solat, ibadah (zakat,puasa,haji etc), hidup (kerja,anak,kelurga etc) dan mati hanya diserahkan kepada Allah semata. Bila mana kesemua paksi ini telah diserahkan pada Allah tuhan yang menciptakan manusia itu maka berlakulah apa yang dinamakan kehambaan. Bila mana manusia tidak lagi berada atau keluar dari lingkungan ini melalui salah satu dari pada 4 ciri tadi (solat,ibadah,hidup dan mati) maka terjadilah satu lagi matlamat hidup yang baru bagi manusia. Manusia memerlukan pemimpin atau khalifah bagi mentadbir dan mengembalikan manusia-manusia yang terkeluar dari lingkungan kehambaan total pada tuhan untuk kembali mengabdi diri pada Allah dalam kehambaan yang total.

InsyaAllah aku akan berkongsi dalam artikel-artikel seterusnya tentang teori-teori motivasi yang boleh diapplikasikan untuk menjadi pendakwah-pendakwah yang lebih baik.

Asrul
29/06/09
0501

Mereka itu pekak dan buta





1. Yaa Siin

2. Demi Al Quran yang mempunyai hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh

3. Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad adalah seorang rasul) dari rasul-rasul yang telah diutus.

4.Yang tetap di atas jalan yang lurus.

5.Al-Quran itu, diturunkan oleh Allah yang Maha Kuasa lagi Maha Mengasihani

6.Supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada kaum yang datuk neneknya telah lama tidak diberikan peringatan dan amaran sebab itulah mereka lalai.

7.Demi sesungguhnya telah tetap hukuman seksa atas kebanyakan mereka kerana mereka tidak mahu beriman.

8.Sesungguhnya kami jadikan (kesombongan dan keengganan mereka tunduk kepada kebenaran sebagai belenggu yang memberkas kedua tangan mereka ke batang leher mereka; (lebarnya belenggu itu) sampai (menongkatkan) dagu mereka lalu menjadilah mereka terdongak.

9. Dan kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat). lalu kami tutup pandangan mereka maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar).

10. Dan (dengan sebab itu) sama sahaja kepada mereka . Engkau beri amaran atau engkau tidak memberi amaran kepadanya - mereka tidak akan beriman.

Asbabun Nuzul (sebab turun ayat)

Dalam suatu riwayat ada dikemukan bahawa ketika Rasulullah saw membaca surah Sajdah dengan nyaring, orang-orang Quraisy merasa terganggu dan mereka bersiap-siap untuk menyeksa Rasulullah. Akan tetapi tiba-tiba tangan mereka terbelenggu di atas bahu dan mereka menjadi buta sama sekali. Mereka mengharapkan pertolongan Nabi Muhammad saw dan berkata: " Kami sangat mengharapkan bantuanmu atas nama Allah dan atas nama keluarga." Kemudian rasulullah saw berdoa dan mereka pun sembuh. Akan tetapi tidak ada seorang pun di antara mereka yang beriman. Maka turunlah ayat-ayat ini (Surah Yaa Siin 36 : 1-10) berkenaan dengan peristiwa tersebut.

(Diriwayatkan oleh Abu Naim di dalam kitab ad Dalail dari Ibnu Abbas)

Dalam riwayat lain ada dikemukan bahawa Abu Jahal berkata: " Sekiranya aku bertemu dengan Muhammad, pasti aku akan menghasutnya." Oleh itu ketika Muhammad berada di sekitarnya orang-orang menunjukkan kepadanya bahawa Muhammad berada di sisinya. Akan tetapi Abu Jahal tetap tertanya-tanya: "Mana dia?" kerana dia tidak dapat melihatnya. Maka penurunan ayat ini (Surah Yaa Siin 36: 8-9) adalah sebagai penjelasan bahawa pandangan Abu Jahal pada ketika itu ditutup oleh Allah untuk melihat Nabi Muhammad.

(Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Ikrimah)

Cantik sekali ayat Quran itu yang diturunkan bagi menjelaskan peristiwa yang berlaku. Bagaimana mereka ditempelak Allah dari perbuatan mereka sendiri. Bayangkan bagaimana saat-saat kesusahan dan kesakitan akibat tangan mereka terbelenggu di bahu mereka, mereka meminta pertolongan kepada Nabi Muhammad atas nama Allah. Benarlah firman Allah yang mengatakan tentang manusia yang apabila di dalam kesusahan (seperti kesusahan di atas kapal) akan berdoa mengharap bantuan tuhan tanpa menggunakan mana-mana perantaraan atau berhala. Namun apabila telah terlepas dari malapetaka, ancaman, bahaya yang dilalui sebelum itu mereka kembali kufur kepada Allah.



65. Dalam pada itu, apabila mereka naik bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut), mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan doa yang tulus ikhlas kepadaNya. Kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka (naik) ke darat, mereka berlaku syirik kepadaNya. (Al Ankabut 29: 65)


Pekakkah aku, Butakah aku?

Quran diturunkan buat umat Muhammad saw untuk kita mengambil ibrah (pengajaran) dari ayat-ayat yang terdapat di dalamnya. Ia bagaikan manual guide hidup kita tatkala kita buntu mencapai penyelesaian. Dalam konteks surah Yaa Siin ayat 1-10 ini, apakah signifikannya kepada pejuang-pejuang Islam? adakah ayat-ayat ini khusus semata untuk mereka yang membantah Islam atau menentang Islam?

Kadangkala terjadi ketegangan sesama pendokong-pendokong Islam apabila sahabat ini menasihati sahabat yang lain. Sahabat yang ditegur atau dinasihati ini terasa hati dan berkecil hati. Bagaimana ini boleh berlaku? sedangkan kononnya manusia-manusia ini mengaku di tarbiah dan berjuang untuk agamaNya mengaku bahawa mereka ini bukan perfect bukan jua Maksum seperti Nabi Muhammad saw. Bila mana mereka mengaku mereka bukan perfect dan maksum, tatkala ditegur kesalahan dan kesilapan mereka, mereka tidak mahu menerimanya dengan hati yang terbuka.

Maka adakah mereka juga tergolong dalam orang-orang yang pekak dan buta? Ya, apabila orang-orang yang ditarbiah dan berjuang pada agama Allah ini berorentasikan pangkat dan harta benda. Lalu mereka menjadi orang-orang yang sombong dan tidak mahu menerima teguran. Bak kata KH Rahmat Abdullah, " Jangan sampai nanti orang-orang tarbiah di benci, gara-gara berorentasikan kepada kekuasaan. Dia tidak boleh berbangga dengan bangunannya lalu tertidur-tidur, tidak pernah mengurus urusan hariannya. Tetap dia harus kembali pada akar masalahnya, akar tarbiahnya...Mahadim, tempat kancah dia dibangun."

Sebagai peringatan buat diriku dan kalian sahabat ku, pangkat dan jawatan yang dipikul itu merupakan amanah Allah buat kita, kita tidak harus memintanya namun tidak boleh menolaknya kerna kitalah yang dipilihNya untuk memikul beban amanah itu. Jangan sekali-kali terlintas bahawa akulah lebih layak untuk jawatan dan pangkat itu dengan itu tergolonglah kita menjadi orang-orang yang sombong lalu kita pun akan terangkum dengan ciri-ciri manusia yang kedua tangan mereka terbelenggu ke bahu mereka sendiri. kita takut akhirnya kita juga tergolong dalam golongan yang mana Allah sebut sama sahaja bagi kamu sama ada kamu tegur atau tidak tegur dia tetap tidak mahu menerima dan mendengar. Adakah itu sifat seorang pejuang?

Namun apabila dikaji dari segi psikologi manusia, adakah pihak yang menegur juga bersifat benar? Benar yang saya maksudkan disini adalah kaedah-kaedah atau teknik-teknik yang digunakan dalam menegur sahabatnya. Adakah penuh berhikmah?



125. Serulah ke jalan tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang baik; sesungguhnya tuhanmu Dia lah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

Ibarat seperti sebuah radiator kereta, jika hendak ditambah air padanya tika masih panas, akibatnya tangan kita sendiri yang melecur (untuk membuka penutup radiator tersebut) namun jika dibiarkan radiator itu sejuk seketika, nescaya mudahlah kita menyiram air padanya.


Asrul
28/06/09
0809

Mampukah aku menulis lagi?





Salam mukadimah dari aku yang ingin kembali menulis. Agak lama tangan ini menyepi dari mencoret, mencatat dan menaip. Agak lama aku menghilangkan diri dari terus tetap dalam medan juang berpedangkan pena dan tinta (sekarang monitor dan keyboard) yang capaian dan medan penyampaiannya luas tidak bersempadan.

Bak kata pepatah arab Catatan dari pena itu lebih tajam dari pedang Masakan tidak lihat sahaja sejarah, berapa ramai yang ditangkap dan dipenjara gara-gara tulisan mereka menyeru kepada kebenaran, keadilan dan pembaikan. Namun apabila tulisan-tulisan di bekukan, dan di tapis dari kebenaran, keadilan dan pembaikan lihatlah betapa merapu dan jauhnya tulisan itu dari menyentuh hati.


1. Nuun. Demi Pena dan apa Yang mereka tulis (68:1)


Termasuklah apa yang sedang aku tulis. Tuhan memberikan ingatan dan amaran kepada mereka-mereka yang menjadi penulis yang mengetahui kebenaran keadilan dan kebaikan namum menyembunyikannya.




44. Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, Yang mengandungi petunjuk dan cahaya Yang menerangi; Dengan Kitab itu Nabi-nabi Yang menyerah diri (kepada Allah) menetapkan hukum bagi orang-orang Yahudi, dan (dengannya juga) ulama mereka dan pendita-penditanya (menjalankan hukum Allah), sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari Kitab Allah (Taurat) itu, dan mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya (dari sebarang perubahan). oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintahKu); dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu Dengan harga Yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia); dan sesiapa Yang tidak menghukum Dengan apa Yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir. (5:44)



Aku amat berharap agar penulisan ku kali ini mampu membantu menyuburkan lagi medan dakwah melalui tinta dan pena. Dan teramat penting pada Mu YA RABB! ku pohon agar aku diberikan kekuatan dan istiqamah dalam menulis dan menyebarluaskan agamaMu.

Ameen.

Sekian. Salam pengenalan dari ku.


Asrul.


p/s: blog lama ku asrul85.multiply.com